KUALA LUMPUR – Pihak polis memberi saranan kepada pemilik premis agar memasang televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik untuk memudahkan siasatan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pemilik premis juga perlu bersikap tegas dan meminta mana-mana pelawat atau penghantar kurier agar tidak memakai topi keledar dan membuka pelitup muka ketika berurusan di dalam premis berkenaan.
“Saya rasa, sudah terlalu banyak kes yang kita dapati penjenayah ini memakai pelitup muka. Jadi, sukar untuk pihak polis lakukan pengecaman.
“Oleh itu, saya nasihatkan pemilik premis tidak kisahlah kecil atau besar untuk memasang CCTV yang menghala ke wajah orang yang berurusan di kaunter.
“Dengan adanya kamera ini, ia bakal memudahkan siasatan pihak polis. Tidak kisahlah (harga) mahal atau murah, paling penting penjenayah ini pun akan takut kalau ada CCTV,” katanya ketika berucap dalam sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis hampir melengkapkan siasatan melibatkan ancaman bom yang diterima oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), minggu lalu.
Menurut laporan media, bungkusan tersebut mengandungi bom palsu dan dihantar ke bangunan MOTAC pada pukul 11.19 pagi dan diambil pada pukul 2.45 petang di lobi bangunan sebelum dihantar ke tingkat 14.
Jelas beliau, lakaran wajah suspek akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi mengesan si pelaku.
“Kita memohon jasa orang ramai untuk membantu pihak polis dengan berkongsi maklumat yang ada,” ujarnya.
Mengulas mengenai kes ugutan bunuh yang diterima Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Rusdi berkata, siasatan yang dijalankan hampir selesai.
Bagaimanapun, menurut beliau, petunjuk yang diterima oleh pihak polis setakat ini adalah meragukan.
Dalam majlis sama, Rusdi turut menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Kuala Lumpur membabitkan Ketua JSJ Kuala Lumpur Datuk Habibi Majinji kepada Ketua JSJ Kuala Lumpur yang baharu, Mohd Razali Mohd Idrus.
Sebelum ini, Mohd Razali telah berkhidmat sebagai Ketua Penolong Pengarah (D10) Forensik Bukit Aman selama kira-kira satu tahun dua bulan.
Difahamkan, Habibi bakal menyambung tugas sebagai Ketua Staf Operasi Darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). – KOSMO! ONLINE