SHAH ALAM – Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman menzahirkan rasa terharu apabila pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawatnya ketika menerima rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Pelantun lagu Aisyah itu memaklumkan ini secara tidak langsung memberikan sokongan moral kepadanya sewaktu menjalani rawatan bipolar.
Menurut pemilik nama sebenar, Muhammad Yasin Sulaiman, 49, itu turut menerima kunjungan daripada rakan-rakan termasuk artis.
“Di hospital ada kawan-kawan datang melawat, Faizal Tahir pun datang melawat. Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pun datang melawat.
“Alhamdulillah, saya ucapkan terima kasih kerana sangat terharu, kawan-kawan dan keluarga datang melawat. Terima kasih banyak,” katanya hari ini.
Yasin menegaskan penyakit bipolar yang dihidapinya ketika ini bukan lakonan, sebaliknya sejak 15 tahun lalu.
Malah, penyakit gangguan emosi tersebut pernah dilaporkan oleh akhbar tempatan dengan tajuk ‘Yasin Gila Isim’ pada tahun 2009.
“Masa itu, orang tidak tahu istilah gejala bipolar ini. Jadi, dari 2009 sudah banyak kali berlaku dan terakhir sekali sekitar awal 2022 ditimpa gejala mania yang pada ketika itu adalah waktu kejadian (perbicaraan di Mahkamah Sesyen).
“Cuma pihak pendakwa raya ketika itu barang kali tidak mempercayai saya benar-benar mengalami gangguan episod mania itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE