BINTULU – Seorang wanita maut, manakala suaminya parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik di Jalan Persisir Bintulu Samalaju, Ladang Tatau Estate di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 7.22 pagi dan pihaknya menggerakkan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Kidurong ke lokasi berkenaan.
Katanya, setibanya di lokasi pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mangsa sudah remuk.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa yang merupakan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga tercampak keluar dari kenderaan.
“Mangsa wanita berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala suaminya yang berusia 25 tahun cedera parah,” katanya yang memberitahu mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE