fbpx

2 tahun, Westlife bikin 119 konsert, ajar peminat ‘angkat tangan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WESTLIFE mengadakan persembahan di Genting Highlands kelmarin dengan disaksikan 5,000 penonton.

GENTING HIGHLANDS – Kumpulan popular asal Ireland, Westlife mendedahkan mereka sudah merealisasikan 119 konsert dalam tempoh dua tahun menjayakan siri jelajah dunia Westlife The Hits Tour.

Perkara tersebut dikongsikan ketika beraksi di Arena of Stars, di sini, bersaksikan lebih 5,000 penonton yang memenuhi dewan utama di pusat peranginan tanah tinggi itu, kelmarin.

“Perasaan dapat bertemu anda semua indah sekali. Banyak kenangan manis kami rasai sepanjang berulang kali ke sini dan banyak negara lain.

“Kami sudah menjayakan sebanyak 119 konsert dalam tempoh dua tahun bermakna empat, lima persembahan besar setiap bulan.

“Malaysia, we’re flying without wings (kami terbang tanpa sayap),,” kata seorang anggotanya, Shane Filan disambut tepukan gemuruh khalayak.

Selain Shane, kehadiran kumpulan vokal harmoni yang ditubuhkan pada tahun 1998 itu turut disertai Kian Egan dan Nicky Byrne.

Seorang lagi tunjang utama Westlife iaitu Mark Feehil tidak dapat turut serta disebabkan masih dalam tempoh pemulihan selepas pembedahan.

Pada persembahan berdurasi lebih dua jam itu, Westlife menyampaikan 25 dendangan termasuk deretan lagu penyanyi popular lain.

Antara lagu popular yang dipersembahkan seperti Nothings Gonna Change My Love For You, Flying Without Wings, Starlight, We Are The Champions, Uptown Girl, My Love, Beautiful In White, What Makes A Man dan More Than Words.

Menariknya, kumpulan yang kerap singgah di Kuala Lumpur dengan kali terakhir tahun lalu turut mengajar penonton bermain cahaya menggunakan bahasa Malaysia.

“Angkat tangan… turun, angkat tangan… turun,” demikian arahan Nicky kepada peminat setia agar mengikut turutan menyalakan lampu telefon bimbit untuk dirakam dan dimuatnaik dalam Instagram Westlife.

Sebelum singgah di Genting Highlands, mereka terlebih dahulu menghiburkan peminat di Beijing, Shenzhen, Shanghai, China, disusuli Korea, Vietnam dan kini menuju Indonesia serta Singapura bagi melengkapkan jelajah di Asia Tenggara.

Penerima trofi pelbagai anugerah termasuk World Music Award, Brit Awards, MTV Awards pertama kali mengadakan konsert di Malaysia adalah pada tahun 1999. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI