fbpx

Bapa marah Stacy ‘pentaskan’ kerinduan buat mendiang abang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Stacy membuat persembahan di pentas THSS berkisarkan mendiang abangnya, Chaq yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

PETALING JAYA – Penyanyi Stacy dimarahi bapa gara-gara membuat persembahan berkisarkan abang kandungnya iaitu mendiang Chaq pada konsert minggu kelima The Hardest Singing Show (THSS) kelmarin.

Kata Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, keluarganya masih berdukacita atas pemergian Chaq yang meninggal dunia mengejut Mac tahun lalu di Hospital Sibu, Sarawak.

“Sebenarnya tadi (kelmarin) ayah saya telefon. Dia marah kerana mengapa dijadikan persembahan. Mereka tidak tahu tentang persembahan ini.

“Sejujurnya saya sendiri pun masih belum boleh mengatasi perasaan rindu sejak kehilangannya. Saya fikir dengan membuat persembahan ditujukan khas buat dia, saya mungkin akan rasa tenang. Tetapi, saya ternyata silap kerana perasaan rindu itu tetap ada,” katanya kepada Kosmo! Online.

Penyanyi lagu Kisah Dongeng itu juga memberitahu, sejak minggu pertama program THSS, dia sering mengalami serangan panik sebelum membuat persembahan.

Akuinya, hal tersebut amat jarang berlaku sebelum Chaq meninggal dunia.

“Saya sangat jarang mengalami serangan panik, tetapi sejak minggu pertama saya mengalami serangan panik sebelum membuat persembahan. Mungkin kerana perkara seperti ini yang belum saya ‘selesaikan’.

“Bagaimanapun alhamdulilah persembahan menjadi bila saya keluarkan emosi sebenar. Tetapi, saya perlu banyak belajar lagi untuk menyampaikan secara betul terutama persembahan yang melibatkan emosi,” katanya.

Stacy mendedikasikan khas persembahan pada malam itu buat Chaq dan berterima kasih kepada abangnya kerana telah menjadi pendorong buat dia menceburi bidang nyanyian.

Sebelum ini, Chaq atau nama sebenarnya Camellus Delleli Anam meninggal dunia selepas 10 hari bertarung nyawa di hospital akibat kemalangan jalan raya.

Dalam pada itu, persembahan yang berlangsung di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras kelmarin menyaksikan Aepul Roza meraih tempat pertama dengan jumlah markah 90.53 peratus.

Sementara Stacy berada di posisi kedua dengan 84.17 peratus dan diikuti Putera Muhammad (83.21 peratus), De Fam (81.75 peratus), Aisha Retno (81.18 peratus), Ayda Jebat (78.10 peratus) dan Zizi Kirana (67.30 peratus).

Tiada penyingkiran diumumkan pada minggu berkenaan.

Konsert THSS diadili tiga juri tetap iaitu Datuk Seri Rossa, Edry Abdul Halim dan Zizan Razak sementara juri jemputan bagi minggu tersebut ialah Datuk Yusry Abdul Halim.

Untuk info, juara program tersebut akan membawa pulang wang tunai bernilai RM150,000 dan trofi sumbangan Astro. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI