fbpx

HRD Corp, Shuto Iko College tawar kursus penjagaan warga emas di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahul bergambar ketika majlis MoU bersama wakil Shuto Iko College di Jepun baru-baru ini.

PETALING JAYA – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Shuto Iko College of Medical Care & Welfare semasa lawatan lima hari mereka ke Jepun baru-baru ini.

Lawatan tersebut diketuai Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood.

Menerusi kerjasama itu, HRD Corp berkata, pihaknya menawarkan kursus pensijilan profesional penjagaan warga emas Jepun kepada rakyat Malaysia.

Jelasnya, ia juga akan membolehkan HRD Corp mendapatkan teknologi latihan dan pensijilan penjagaan warga emas dari Jepun.

“Melalui kerjasama ini, HRD Corp juga akan mengenal pasti dan melengkapkan jurulatih serta penyedia latihan Malaysia untuk membolehkan mereka menawarkan kurikulum dan program pensijilan Shuto Iko pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Steven Sim berkata, kerjasama antara HRD Corp dan Shuto Iko adalah inisiatif tepat pada masanya yang akan melengkapi usaha kerajaan untuk melabur serta mengawal selia ekonomi penjagaan.

Ini kerana katanya, potensi untuk sektor tersebut dapat menyumbang antara 10 peratus dan 39 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesebuah negara.

“MoU ini akan mengiktiraf pekerjaan tersebut sebagai kerjaya formal yang memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi kita, saya berharap rakyat Malaysia akan meneroka peluang pekerjaan profesional dalam sektor ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shahul berkata, HRD Corp berbesar hati untuk terus memperluas tawaran kepada semua rakyat Malaysia melalui perkongsian dengan Shuko Ito.

“Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sektor penjagaan sedang berkembang di semua rantau dan dijangka mencipta lebih banyak pekerjaan pada tahun-tahun akan datang.

“Dengan mengiktiraf ekonomi penjagaan, dan menawarkan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam latihan vokasional penjagaan warga emas. pekerja penjagaan Malaysia dapat menikmati gaji yang selayaknya sambil berpeluang meningkatkan kemahiran, menjadi profesional, seterusnya naik ke tangga kerjaya di masa hadapan,”ujarnya.

Sebagai makluman, Shuto Iko College of Medical Care & Welfare merupakan satu daripada sembilan fakulti di bawah Yayasan Pendidikan Jepun.

Ia menumpukan pada pendekatan holistik kepada latihan penjagaan, melalui kursus pensijilan profesional yang disokong oleh teknologi penjagaan terkini.

Institusi ini pakar dalam menyediakan kursus pensijilan profesional jangka pendek dan panjang yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun kepada semua lepasan sekolah menengah.

Kolej ini juga mempunyai kadar pekerjaan hampir 100 peratus kerana program mentor holistiknya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI