KUCHING – Hidrogen berpotensi menjadi alternatif bagi menggantikan kebergantungan kepada bahan api diesel, yang kini menjadi isu utama dalam negara susulan kenaikan harganya bermula hari ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penggunaan tenaga alternatif baharu itu diyakini mampu menggantikan diesel sekiranya ia dapat dikeluarkan dengan kos yang lebih rendah.
“Carilah alternatif bagi menggantikan diesel, kemudian tidak perlu subsidi lagi…kita sekarang sibuk dengan hidrogen, kalau dapat turunkan kos hidrogen kenapa guna diesel lagi.
“Tukar kepada tenaga lain dan bukannya diesel, secara automatik keseluruhan masalah selesai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini bagi mengulas mengenai kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia bermula hari ini, dengan Sarawak dan Sabah dikecualikan.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata bagi mengurangkan kos hidrogen, penggunaan minyak harus dihentikan.
“Kenapa perlu bercakap mengenai diesel sedangkan kita ada hidrogen…untuk mengurangkan kos hidrogen, jangan lagi pakai minyak, itu penyelesaiannya.
“Kalau masih seperti sekarang, masih juga pakai diesel, ia akan naik lagi dan minta lagi subsidi. Kenapa tidak tenaga alternatif yang murah, jadi tidak perlu lagi guna diesel,” katanya. – KOSMO! ONLINE