BANGKOK – Isteri kepada seorang penyanyi popular di Thailand dituduh menggelapkan wang syarikat milik suaminya berjumlah 60 juta baht (RM7.7 juta), lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Wanita itu pernah muncul dalam program televisyen tempatan dan mendakwa bahawa dia menjadi mangsa kecurangan suaminya.
Ketua rangkaian guaman Thailand, Lawyers for Relief, Decha Kittivittayanan menerusi siaran langsung di Facebook berkata, wanita tersebut sebenarnya terlibat dalam skandal kewangan.
Menurutnya, wanita itu muncul di kaca televisyen dengan memaparkan dirinya sebagai seorang isteri yang menderita kerana dicurangi suami.
“Dia muncul dalam program televisyen Hon Krasae dan menggambarkan dirinya sebagai isteri malang yang dicurangi.
“Namun, dia langsung tidak menyebut bahawa suaminya enggan pulang ke rumah kerana dia secara diam-diam memindahkan wang 60 juta baht daripada akaun syarikat si suami ke dalam akaun peribadinya.
“Kes ini dibicarakan di mahkamah (secara tertutup) dan penyanyi lelaki tersebut amat popular,” kata Decha tanpa mendedahkan identiti selebriti berkenaan.
Tambah Decha, ketika program berkenaan disiarkan, si isteri turut menangis dan menuduh suaminya lelaki jahat kerana mempunyai wanita simpanan.
Dia juga mendakwa perlu membesarkan anak-anak mereka, manakala wang nafkah sebanyak 100,000 baht (RM12,780) sebulan yang diberikan oleh suaminya tidak mencukupi.
“Dia mengadu mengenai pendapatan suaminya dan mahukan lebih (duit). Namun, mengapa dia tidak menyebut mengenai duit yang diambil itu (60 juta baht)?
“Jika anda adalah suaminya, adakah anda masih mahu bersama wanita itu selepas mendapat tahu hal tersebut?” tanya Decha. – AGENSI