SEPANG – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa tidak puas hati dengan tahap guna pakai dan pembangunan di 14 buah Taman Industri Halal HALMAS (Halal Park) di seluruh negara.
Ini kerana, hanya 11 peratus daripada keseluruhan 5,484 hektar (13,553 ekar) di Halal Park itu dibangunkan setakat ini biarpun ia sudah dilancarkan sejak 2009 lagi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah itu masih lagi rendah dan ia perlu ditangani segera antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebuah pasukan petugas diwujudkan hari ini bagi mengenalpasti kekangan dihadapi oleh setiap kerajaan negeri.
“Pasukan petugas itu akan mengadakan mesyuarat pertama dua minggu lagi bagi mencari jalan penyelesaian serta mengatasi kekangan yang ada.
“Kerajaan negeri komited menyediakan industri halal di taman halal itu tapi mungkin terdapat beberapa kekangan termasuk insentif yang tidak mencukupi,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Industri Halal Bil 1/2024 di sini, hari ini.
Katanya, beliau turut mengarahkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) supaya menyelaras isu berkenaan. – KOSMO! ONLINE