BERLIN – Jerman membentangkan pelan persiapan untuk menghadapi kemungkinan perang tercetus di Eropah, lapor saluran berita CNN kelmarin.
Persiapan itu adalah yang pertama seumpamanya oleh Berlin sejak era Perang Dingin.
Sebuah dokumen setebal 67 muka surat berjudul Arahan Rangka Kerja Pertahanan yang dikeluarkan minggu lalu menggariskan transformasi menyeluruh dalam kehidupan rakyat Jerman sekiranya perang berlaku.
Ia adalah petunjuk terbaru bahawa Jerman akan mengubah kerangka keselamatan dan ketenteraannya susulan perang Russia ke atas Ukraine selepas Berlin berpaksikan dasar antiperang tanpa berganjak sejak Perang Dunia Kedua.
Berdasarkan garis panduan kecemasan baharu itu, kerahan tenaga mandatori akan kembali berkuat kuasa, manakala buruh mahir berumur lebih 18 tahun perlu melakukan beberapa pekerjaan termasuk di kedai roti dan pejabat pos.
Mereka dilarang daripada berhenti kerja.
Khidmat tenaga profesional termasuk doktor, ahli psikologi, jururawat dan doktor haiwan boleh diserap untuk membantu tentera.
Pelan kecemasan Berlin itu turut menyebut tentang pelaksanaan catuan makanan sekiranya negara berdepan situasi sukar.
Kerajaan akan menyimpan stok makanan dan menyediakan rakyat dengan satu hidangan panas sahaja pada setiap hari untuk tempoh masa yang tidak didedahkan.
Antara makanan yang berada dalam senarai rizab persekutuan termasuk beras, kekacang dan susu pekat.
Sumber utama lain seperti petrol dan minyak pula boleh dicatu berdasarkan sistem kupon jika bekalan terhad.
Dokumen sama menggariskan langkah perlindungan awam termasuk mengubah stesen kereta api bawah tanah menjadi kubu sementara dan menyediakan hospital untuk kemasukan besar pesakit.
Menurutnya, apabila perang meletus, rakyat Jerman tidak boleh mengharapkan bantuan kerajaan pada kadar segera kerana kemusnahan akan berlaku serentak di berbilang lokasi.
Kerajaan juga mempunyai kuasa untuk memindahkan orang ramai ke kawasan lain sekiranya keadaan memaksa.
Menteri Dalam Negeri, Nancy Faeser berkata, Jerman perlu melakukan persiapan sebaik mungkin untuk menghadapi pencerobohan tentera Russia.
“Pencerobohan Russia di Ukraine mengubah sepenuhnya situasi keselamatan di Benua Eropah, terutamanya blok Kesatuan Eropah (EU) timur dan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti di negara Baltic.
“Konflik ini turut melibatkan ancaman hibrid seperti serangan siber, pengintipan dan penyebaran maklumat palsu,” katanya.
Rancangan masa perang Jerman yang dikemas kini itu diumumkan ketika Presiden Russia, Vladimir Putin membentangkan ancaman keselamatan berterusan terhadap Eropah.
Perkembangan itu berlaku ketika perang Ukraine memasuki tahun kedua dan tiada tanda akan berakhir sekali gus meningkatkan kebimbangan bahawa konflik itu berlanjutan dan mengheret penglibatan NATO.
Pada Rabu lalu, Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius seperti dipetik oleh akhbar Der Spiegel berkata: “Kita mesti bersedia untuk berperang menjelang tahun 2029.”
“Kita tidak boleh percaya bahawa Putin akan berhenti di sempadan Ukraine apabila beliau mara sejauh itu,” tambahnya. – AGENSI