PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di enam negeri sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, hujan lebat berserta ribut petir dijangka tertumpu di Perak melibatkan Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang.
“Cuaca buruk turut dijangka di beberapa kawasan di Pahang terutamanya di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Rompin, diikuti Sabak Bernam, Klang dan Petaling di Selangor serta Segamat, Muar, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor,” kata MetMalaysia.
Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Sarawak, melibatkan Kuching (Bau dan Lundu), Betong (Pusa, Betong dan Saratok), Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu dan Miri (Subis).
“Di Sabah pula, cuaca buruk turut dijangka di Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Kinabatangan dan Sandakan) sehingga pukul 6 petang ini,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE