PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneliti semula struktur serta permukaan jalan raya di sekitar laluan Jalan Kuantan – Segamat yang mengorbankan empat nyawa dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan treler semalam.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, langkah itu juga bertujuan untuk mengenal pasti punca kemalangan terbabit dan pihaknya bersedia mengambil tanggungjawab sekiranya ia berkaitan permukaan atau struktur jalan.
“Kita akan meneliti apa yang berlaku jika puncanya adalah disebabkan oleh permukaan jalan, kerosakan jalan atau silap dimana-mana berkenaan jalan, itu adalah tanggungjawab kami,”katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Asset Management Roundtable Series (AMRS) 2024/2025 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rintihan pengguna jalan raya yang mahu KKR meneliti dan menaik taraf semua laluan tersebut kerana didakwa kerap berlaku kemalangan sebelum ini.
Bagaimanapun Ahmad berkata, berdasarkan analisa daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kebanyakan punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian pemandu iaitu mewakili 80 peratus diikuti keadaan jalan 13 peratus dan faktor kenderaan tujuh peratus.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, empat maut selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Tiga Bahau, Rompin, Pahang.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, bas ekspres berkenaan membawa guru Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka menuju ke Terengganu bagi menyertai rombongan penanda aras.
Mangsa yang maut adalah Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas, Hadi Ashraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, serta Dahlia Ahmad, 52, guru agama sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof dilaporkan berkata berdasarkan siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh sebuah lori treler.- KOSMO! ONLINE.