fbpx

Penonton menangis, pengarah Kyoll Hamzah luah rasa syukur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kyoll berpuas hati apabila filem sulung garapannya, Memoir Seorang Guru mendapat maklum balas positif daripada kebanyakan penonton.

PETALING JAYA – Pengarah Kyoll Hamzah bersyukur apabila filem sulung arahannya, Memoir Seorang Guru berjaya menyentuh hati penonton.

Filem adaptasi dari novel Allahyarham Azizi Haji Abdullah itu bukan sahaja mengangkat karier seorang guru tetapi juga mengimbas kenangan zaman persekolahan dahulu.

“Sejujurnya saya bimbang juga dalam lambakan filem komersial filem Memoir Seorang Guru genrenya agak berat.

“Tetapi melihat penonton menangis dan berterima kasih kerana membawa mereka kembali ke zaman persekolahan membuatkan saya gembira. Ini bermakna cerita ini dekat dengan hati penonton,” kata Kyoll.

Tambah Kyoll atau nama sebenarnya, Hairul Hamzah, 47, filem Memoir Seorang Guru cukup istimewa baginya kerana membuka jalan je dunia perfileman selepas 15 tahun bergelar pengarah drama.

Meskipun Kyoll popular sebagai pengarah drama genre romantik komedi, hakikatnya dia lebih meminati naskhah genre berat.

“Jika saya tolak rasa rugi besar kerana bukan mudah untuk peluang seperti ini datang. Apatah lagi Memoir Seorang Guru sebuah naskhah yang cukup bagus.

“Sejujurnya genre berat seperti ini adalah minat saya, cuma dalam drama saya jarang dapat peluang untuk mengarah naskhah seperti ini.

“Diharap filem Memoir Seorang Guru akan membuka sisi baharu saya pada mata penonton dan juga penerbit,” ujar Kyoll yang sebelum ini popular dengan drama Ajari Playboy Itu, Dian dan Dear Cinta.

Bercakap tentang filem Memoir Seorang Guru, Kyoll menyifatkan pemilihan Datuk Rosyam Nor sebagai pelakon utama adalah tepat.

“Saya baca novel ini sebanyak tiga kali dan sebelum skrip siap pun saya sudah terbayang hanya Rosyam Nor sahaja yang mampu bawa watak Cikgu Sunan dengan baik.

“Walaupun filem ini ditayangkan serentak dengan filem komersial lain, saya yakin genre yang bermain dengan emosi penonton ada peminatnya,” tutur Kyoll yang kini sibuk dengan pembikinan drama Bias Cahaya.

 

Kyoll bersama penonton yang berpuas hati dengan garapan filem Memoir Seorang Guru baru-baru ini di TGV Cinemas ibu negara. 

Dalam pada itu, Kyoll turut gembira apabila acara meet & greet bersama barisan pelakon yang dianjurkannya di TGV AEON AU2 Setiwangsa, Kuala Lumpur baru- baru ini mendapat sambutan hangat.

“Disebabkan Memoir Seorang Guru adalah filem pertama saya, saya mengambil inisiatif menganjurkan sendiri sesi meet & greet bersama barisan pelakon.

“Tidak sangka daripada borak kosong acara ini menjadi kenyataan dan dewan penuh dengan penonton yang hadir memberi sokongan,” katanya lagi.

Karya Memoir Seorang Guru mengisahkan seorang guru bandar (Cikgu Sunan) yang telah ditukarkan ke sebuah sekolah pedalaman dab ditugaskan menjadi guru di kelas tercorot.

Selain Rosyam Nor, filem Memoir Seorang Guru yang telah ditayangkan di pawagam sejak 30 Mei lalu turut dibintangi oleh Nabila Huda, Johan As’ari, Zul Huzaimi, Trisha Ooi dan Hariz Hamdan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI