WASHINGTON – Sebuah pesawat kargo tentera Amerika Syarikat (AS) menggugurkan lebih 10 tan metrik bekalan makanan dan air di utara Semenanjung Gaza semalam, kata tentera AS.
Penduduk Gaza sangat memerlukan bantuan kemanusiaan selepas lapan bulan menderita akibat peperangan, manakala Washington beralih kepada menghantar bantuan dari udara dan laut selepas Israel cuba menyekat penghantaran melalui jalan darat.
Operasi ‘air drop’ itu memberikan bantuan kemanusiaan yang menyelamatkan nyawa manusia di utara Gaza, kata Markas Pusat Perintah AS (CENTCOM).
“Setakat ini, AS telah menggugurkan lebih 1,050 metrik bantuan kemanusiaan sebagai tambahan kepada bantuan yang disalurkan melalui jeti sementara yang bersambung dengan pantai Gaza.
“Operasi air drop ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan dan kami merancang melakukan lebih banyak penghantaran sedemikian,” kata CENTCOM.
Operasi terbaru itu berlaku sehari selepas bantuan kemanusiaan dihantar semula menerusi jeti tersebut yang rosak pada bulan lalu akibat cuaca buruk dan terpaksa dibaik pulih.
Serangan udara dan operasi darat tentera Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 37,084 orang terbunuh di Gaza, kebanyakan mereka ialah wanita dan kanak-kanak. – AFP