KLANG – Masalah rumah tangga berlarutan sejak dua tahun lalu membawa kepada tragedi berdarah membabitkan seorang operator kilang yang dikelar suaminya di kediaman mereka di Pangsapuri Palma, Bandar Botanik di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 28 tahun itu mempunyai 12 kesan hirisan luka dan kelar antaranya di telinga, dagu dan leher.
Kejadian menyayat hati itu dimaklumkan sendiri adik suspek yang membuat panggilan kecemasan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui mangsa terbaring di atas katil rumah berkenaan dengan kesan kelar di leher dan tangan kanannya.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek yang berusia 31 mempunyai seorang cahaya mata iaitu bayi perempuan berusia enam bulan.
“Bagaimanapun didapati mereka mempunyai masalah rumah tangga sejak dua tahun perkahwinan mereka,” katanya di sini.
Beliau memaklumkan, suspek yang juga pemandu lori direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 14 Jun depan bagi membantu siasatan.
“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan” jelasnya.
Terdahulu, insiden tersebut turut tular menerusi video berdurasi 33 saat di laman aplikasi X.
Sementara itu, seorang penduduk berusia 50-an yang enggan dikenali berkata, dia terkejut melihat kawasan berkenaan dipenuhi polis pagi kelmarin.
“Saya pada awalnya menyangka mungkin hanya kes biasa sebelum mengetahui ia melibatkan kes bunuh. -KOSMO!ONLINE