fbpx

Kerja kelab malam umur 18 tahun, Jac pernah dipandang serong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
20 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, Jac akhirnya bakal mengadakan sebuah konsert solo tidak lama lagi.

GENAP 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, Jaclyn Victor kini sememangnya tersenarai sebagai antara penyanyi prolifik yang mempunyai vokal ampuh tiada tolok banding.

Pengalaman beraksi di pentas ‘live’ pada usia muda disusuli penyertaan pertandingan realiti, Malaysian Idol mematangkan perjalanan seni pemilik nama lengkap Jaclyn Joshua Thanaraj Victor itu.

Namun, siapa sangka, dalam mengejar impian dan membantu ibu tercinta mencari rezeki, dia pernah berdepan pandangan skeptikal individu yang tidak memahami konsep menghiburkan pengunjung di pusat hiburan.

Dihina menyanyi di kelab

Kongsi Jaclyn atau mesra disapa Jac, dirinya pernah dihina seorang pemandu teksi yang menganggap pekerjaannya memalukan.

“Ketika itu saya masih muda, berusia dalam lingkungan 18 tahun tetapi sudah bekerja di sebuah pusat hiburan untuk menolong ibu mencari rezeki.

20 tahun bergelar penyanyi profesional, Jac sudah menjuarai banyak pertandingan nyanyian dalam dan luar negara.

“Setiap hari saya berulang naik teksi dan tentu sahaja dalam perjalanan saya bertemu dengan ramai pemandu.

“Namun, saya berhenti berkongsi pekerjaan saya apabila suatu hati saya menaiki teksi seorang pemandu yang skeptikal dengan pekerjaan saya sehingga bertanya sama ada ibu saya tahu saya menyanyi di kelab malam,” katanya ketika ditemui HibGlam.

Enggan mengenang kisah lampau serta mengingati pandangan negatif orang terhadap pekerjaan pertama dilakukan sebelum menjuarai Malaysian Idol, Jac mengakui ibunya Maggie Victor menjadi pendorong utama kerjaya seninya.

Sering juara

Tidak hairan, dia tidak pulang dengan tangan kosong setiap kali memasuki pertandingan, selepas mencetuskan fenomena Malaysian Idol musim pertama pada 2014, 18 tahun kemudian, Jac kembali bergelar juara menerusi program Gegar Vaganza musim sembilan (GV9).

Bahkan, pencapaian membanggakan diteruskan ketika All Stars Gegar Vaganza (GV10) tahun lalu apabila dia menewaskan ramai penyanyi berpengalaman lain dalam program tersebut.

“Seperti saya katakan, ini semua berkat doa mak yang tidak putus memberikan dorongan sama ada dalam kerjaya mahupun kehidupan,” luahnya.

Kini, sekali lagi anak sulung daripada empat bersaudara itu akan membanggakan keluarga apabila bakal tampil dalam konsert solo pertama.

Selama dua dekad mengharungi perjalanan berliku sebagai anak seni, akhirnya impiannya berada di pentas mega secara solo bakal menjadi kenyataan pada 12 Oktober depan.

KONSERT solo Jaclyn Victor selepas dua dekad di arena seni suara bakal direalisasikan di Zepp KL pada 12 Oktober depan.

Konsert solo hadiah bermakna

Kemunculan di Zepp Kuala Lumpur nanti disifatkan sebagai hadiah bermakna dalam karier seninya sekali gus menjadi penanda aras dalam berkarya.

“Konsert ini sangat bermakna bagi saya. Penanda aras untuk tempoh 20 tahun saya dalam industri ini dan masa untuk memberi semula kepada penyokong saya.

“Bukan mudah perjalanan untuk kekal relevan dalam industri tanpa sokongan hebat peminat membuatkan saya sangat teruja,” katanya ketika sidang media Jaclyn Victor First Solo Concert.

Ditanya kenapa baru sekarang mahu merealisasikan sebuah konsert solo, akuinya sebelum ini dia sudah timbul keraguan terhadap penerimaan ramai.

“Dulu saya selalu bertanya pada diri sendiri, kalau saya buat konsert, ada atau tidak orang datang. Mungkin orang kenal Jaclyn Victor, tapi tidaklah popular mana.

“Tambahan lagi, saya tidak ke depan dalam menggunakan media sosial. Artis baharu pengikut berjuta. Saya pula, bertungkus-lumus, kerja keras tapi pengikut media sosial sedikit.

“Cuma saya sudah fikirkan. Inilah masanya. Selepas 20 tahun, saya hadiahkan konsert solo yang pertama,” ujarnya dengan penuh semangat.

Tolak tawaran

Demi memberi fokus terhadap konsert solonya ini, pelantun lagu Gemilang ini mendedahkan terpaksa menolak beberapa tawaran lain.

“Saya sudah fikirkan mahu membuat konsert ini sejak tahun lepas, memandangkan tahun ini genap 20 tahun, dalam industri. Lagipun, saya ada kawan yang mahir dalam bidang penganjuran konsert.

“Saya tolak dengan cara baik tawaran mengadakan konsert lain. Jika tahun depan dapat (tawaran) saya boleh fikirkan, tahun ini saya fokus untuk ini,” katanya lagi mengenai projek antara Rag Doll Records dengan Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production itu.

Mengenai persedian menghadapi persembahan mega itu nanti, penghibur asal Kepong, Selangor itu lebih memberi keutamaan terhadap vokal.

“Semua berbalik kepada kekuatan saya iaitu persembahan vokal yang menjadi antara sebab utama kenapa penonton perlu datang menyaksikan konsert itu kelak.

SEBANYAK 25 lagu bakal diperdengarkan dalam persembahan mega yang dijangka berdurasi lebih dua jam. | Foto: SYAKIR RADIN

“Saya tak pandai menari. Jadi fokus utama adalah bagi kekuatan saya, iaitu persembahan vokal, namun perlu ada rehat yang cukup, sebab nanti nak menyanyi tanpa henti dalam tempoh panjang.

“Ini penting. Saya juga elak makan ‘benda’ yang tidak perlu. Saya seorang penyanyi, suara saya adalah satu anugerah. Pemilihan lagu dan pakaian atau penyanyi jemputan belum kita muktamadkan,” ujarnya.

Menurut Jac lagi, persediaan lain adalah mengikuti persembahan mahupun konsert penyanyi lain sebagai suntikan semangat.

“Saya sempat menonton konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pada saya, menakjubkan.

“Aina Abdul juga yang bagi saya seorang penyanyi yang berani walaupun belum berkesempatan menonton konsertnya.

“Dari pemerhatian saya belajar dan di situ saya tahu apa kelainan yang akan saya tampilkan dalam konsert ini nanti,” kongsinya.

Tiket bagi menyaksikan konsert solo pertama Jaclyn sudah mula dijual menerusi www.livepass.asia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI