IPOH – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan peringkat lebih tinggi dalam kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di Perlis.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini, hanya tiga individu ditahan termasuk seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan suspek anak beranak yang juga imam sebuah masjid dan pemilik syarikat.
“Sama ada tangkapan itu akan bawa kepada tangkapan lain, itu saya belum boleh beri kepastian. Setakat ini hanya melibatkan ketiga-tiga mereka.
“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan ada peringkat lebih tinggi yang terlibat. Di sini pentingnya untuk diketahui ke mana wang itu pergi dan siapa lagi yang terlibat dalam sindiket atau skandal mendaftarkan pasangan berpoligami di Thailand secara tidak betul,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Pertandingan Debat Anti Rasuah Institut Pendidikan Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2024 di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pegawai penyiasat SPRM juga telah memohon untuk membekukan akaun tiga suspek yang ditangkap dan disyaki terlibat dalam menyalurkan wang pada suspek utama.
“Langkah itu bagi membolehkan pasukan siasatan mengetahui apa yang telah berlaku dengan wang yang masuk ke dalam akaun mereka dan apa yang telah dibelanjakan,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, tiga individu termasuk pegawai kanan JAIPs dan imam sebuah masjid di Kangar direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung penerimaan suapan berjumlah RM1,183,140.
Suapan itu diberikan untuk pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun tahun lalu. – KOSMO! ONLINE