KEMAMAN – Tindakan berani seorang penjawat awam meredah banjir membawa padah apabila dia nyaris maut setelah kereta Perodua Myvi dinaikinya hanyut dibawa arus deras di Jalan Chukai-Air Putih berhampiran Kampung Batu 10, Pasir Gajah, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 12.50 tengah hari itu, mangsa yang juga Pembantu Perawatan Kesihatan Hospital Kemaman terperangkap di dalam keretanya sebelum diselamatkan penduduk kampung.
Difahamkan lelaki berusia 27 tahun itu dalam perjalanan untuk bertugas di Hospital Kemaman di sini selepas pulang bercuti ke kampung halaman di Bukit Payong, Marang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, kejadian dipercayai berpunca selepas mangsa cuba meredah laluan tersebut yang telah ditenggelami air banjir sedalam kira-kira dua meter setelah keluar dari susur keluar Plaza Tol Chukai, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2).
“Sewaktu meredah banjir di jalan tersebut, kereta dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu dihanyutkan arus deras hingga ke kawasan semak di bahu jalan berhampiran.
“Mangsa terkurung di dalam keretanya yang terkunci selama hampir 15 minit sebelum diselamatkan penduduk kampung,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian telah menunda keluar kereta Perodua Myvi berkenaan dari kawasan banjir itu.
“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi masih terperanjat dengan insiden ini.
“Saya nasihatkan pengguna jalan raya agar tidak mengambil risiko mengharung banjir dan sentiasa peka dengan papan tanda amaran dipasang pihak berkuasa,” katanya.- K! ONLINE