fbpx

Juara Asia lebur impian Wei Chong-Kai Wun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WEI CHONG (kanan) dan Kai Wun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tewas pada perlawanan akhir Terbuka Indonesia sebentar tadi. - AFP

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun terlepas peluang meraih kejuaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia apabila terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, pasangan No.20 dunia itu terpaksa akur tewas 21-19, 16-21, 12-21 kepada pilihan kedua kejohanan dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Meskipun tewas, namun aksi kedua-dua pemain itu wajar dipuji apabila mampu memberikan tentangan sengit kepada juara Asia berkenaan di kala beregu No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di pusingan kedua.

“Secara keseluruhan, saya rasa permainan kami baik tetapi di penghujung masih tidak mampu untuk dapatkan gelaran. Mereka (China) mula mendapat keyakinan dan momentum di set kedua sehingga menyebabkan kami tertekan,” kata Wei Chong kepada BWF selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia meraih kejuaraan di Terbuka Indonesia adalah menerusi legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei yang melakukannya pada edisi 2016 menewaskan Jan O Jorgensen dari Denmark.

Dalam pada itu, juara perseorangan lelaki menjadi milik pemain China, Shi Yu Qi yang dipaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan tiga set 21-9, 12-21, 21-14 ke atas Anders Antonsen dari Denmark.

Gelaran perseorangan wanita turut menjadi milik China selepas pemain No.2 dunia, Chen Yu Fei menewaskan pilihan utama kejohanan dari Korea Selatan, An Se Young, juga dalam aksi tiga set 21-14, 14-21, 21-18.

China memastikan mereka menguasai aksi final hari ini apabila beregu campuran, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin muncul juara selepas menang 21-11, 21-14 ke atas rakan sepasukan yang juga pasangan No.1 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Beregu wanita Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee memastikan China tidak menyapu bersih semua gelaran hari ini apabila menewaskan Chen Qing Chen-Jia Yi Fan 21-17, 21-13 dalam tempoh 57 minit.

Pemenang acara perseorangan membawa pulang hadiah wang tunai AS$91,000 (RM427,199) berserta trofi manakala naib juara menerima AS$44,200 (RM207,496) dan trofi.

Sementara itu, pemenang kategori beregu meraih hadiah wang tunai AS$96,200 (RM451,610) dan trofi manakala naib juara menerima AS$45,500 (RM213,599) berserta trofi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI