KUANTAN – Lawatan penanda aras Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram ke Terengganu sepatutnya menjadi kenangan terakhir sebelum berpencen buat seorang mangsa yang maut dalam kejadian kemalangan bas persiaran bertembung treler di jalan Kuantan – Segamat, berhampiran simpang tiga Bahau di Rompin.
Mangsa, Hamzah Ahmad, 60, yang merupakan pembantu operasi sekolah disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi tadi ketika sedang mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di sini.
Anak mangsa, Siti Zulaikha Hamzah, 25, berkata, ayahnya dijadualkan berpencen pada 7 Julai depan.
Katanya, pada awalnya ayahnya enggan menyertai lawatan terbabit, namun mengubah keputusan selepas dipujuk untuk pergi bagi mencipta kenangan buat kali terakhir bersama rakan sekerja.
“Ayah jarang pergi jauh-jauh. Ini pun sebenarnya ayah tak nak pergi, puas pujuk saya cakap dekat ayah, ayah pergilah, ini kenangan sebab ayah tak pernah pergi jalan jauh.
“Kalau pergi rombongan memang ayah takkan pergi rombongan yang jauh.,” katanya ketika ditemui di unit forensik HTAA, di sini hari ini.
Tambah Siti Zulaikha lagi, dia mendapat tahu kejadian menimpa ayahnya kira-kira pukul 7 pagi.
“Ketika itu saya sedang bekerja. Saya rasa tidak sedap hati selepas dapat tahu ayah terlibat kemalangan jadi saya minta untuk balik awal.
“Saya dapat maklumat ada yang beritahu ayah saya kritikal. Saya, adik dan emak bersama ibu saudara sekeluarga ambil keputusan untuk pergi ke hospital menaiki dua buah kereta.
“Dalam perjalanan ketika tiba di Palong, Negeri Sembilan saya dihubungi pihak hospital untuk terus ke unit forensik tetapi tidak dimaklumkan apa-apa. Saya telefon hospital untuk dapatkan kepastian dan mereka beritahu ayah saya telah tiada,” katanya memberitahu, ibu dan adiknya berpatah balik semula ke Kampung Londong, Masjid Tanah, Melaka berikutan bimbangkan keadaan ibunya yang tidak sihat selepas mendapat khabar duka itu.
Bercerita lanjut Siti Zulaikha memberitahu kali terakhir dia berjumpa ayahnya adalah malam semalam sebelum ayahnya bertolak sendiri ke sekolah untuk menyertai lawatan tersebut yang dikatakan bertolak pada pukul 10 malam.
Hamzah meninggalkan seorang isteri, Shamsiah Khamis, 55, dan dua anak perempuan, Siti Zulaikha dan Siti Wardah, 24. – KOSMO! ONLINE