ALOR SETAR – Pelawaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk menjual air kepada Pulau Pinang disifatkan hanya bersifat politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Menteri Besar Kedah itu sepatutnya memberi fokus kepada penyelesaian masalah air di negeri tersebut terlebih dahulu terutama melibatkan pembekalan sumber itu ke Langkawi.
Katanya, Muhammad Sanusi juga perlu mengetahui fakta berkaitan sumber air negeri yang mana kapasiti kesemua Loji Rawatan Air (LRA) sedia ada hanya mencukupi untuk kegunaan dalam negeri.
“Nak jual air apa (sedangkan) di Kedah ini tak ada margin, Sanusi kena tahu berapa margin yang ada. Contohnya dalam satu tong air ada banyak mana dan berapa kapasiti air nak digunakan.
“Kalau ada satu tong dan perlu guna kesemua satu tong itu nak jual macam mana, kecuali guna 70 peratus dan ada margin 30 peratus lagi. Tetapi di Kedah kegunaan air sekarang 99 peratus, margin hanya satu peratus saja,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pernah mentadbir Kedah dan mengetahui fakta berkaitan sumber air yang mana kapasiti kesemua LRA sedia ada hanya mencukupi untuk kegunaan dalam negeri.
“Itu belum diambil kira dengan situasi air tidak terhasil yang tinggi akibat kebocoran dan sebagainya. Kita tahu kerana pernah berusaha buat perkara itu menjadi elok tetapi dia satu pun tak buat ke arah itu kecuali harapkan pertolongan kerajaan Persekutuan.
“Sekarang ini kena selesai dulu masalah air di Kedah. Cakap (nak jual air) kerana nak pilihan raya, nak politik sebab ada PRK tak payah lah begitu, selesai dulu masalah-masalah di negeri ini yang banyak belum selesai,” ujarnya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Kedah mempelawa Pulau Pinang untuk mendapatkan lebihan air bersih dari negeri itu yang disimpan di LRA Lubuk Buntar di Kedah.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal khususnya di Sungai Bakap. – KOSMO! ONLINE