PETALING JAYA – Kemalangan tiga maut pagi tadi membabitkan sebuah bas dengan treler di Simpang Tiga Keratong, Jalan Kuantan-Segamat atau Simpang Tengkorak dikatakan berlaku di lokasi yang kerap terjadi nahas sehingga meragut nyawa.
Berdasarkan perkongsian beberapa pengguna di media sosial, lokasi nahas terbabit adalah kawasan hot spot kemalangan serta telah meragut banyak nyawa.
Malah dakwa pengguna lagi, kawasan itu juga amat gelap pada waktu malam serta menuruni bukit.
Menurut seorang pengguna dikenali sebagai Nurulhazwani Ahmad Arshad, kawasan nahas itu telah banyak kali meragut nyawa pengguna jalan raya.
“Kalau nak balik Lepar@Melaka memang cukup hati-hati. Trauma 2014 tak pernah padam.
“Sudah terlalu banyak makan nyawa laluan sini semoga dipermudahkan segala urusan,”tulisnya pada satu hantaran di laman Facebook.
Turut berkongsi pengalaman melalui jalan tersebut adalah seorang lagi pengguna di kenali sebagai Khairul Anwar yang memaklumkan bahawa jalan tersebut sangat gelap pada waktu malam.
“Semalam saya lalu sebelum kejadian memang gelap lampu jalan mati, terdetik dalam hati bahaya jalan ini simpang gelap kereta keluar masuk.
“Dapat berita bas terbabas, kalau orang tak biasa lalu jalan itu datang dari bahau menuju ke simpang tersebut memang bahaya. Sebab dia lajak menurun bukit tak perasan dah sampai simpang, dengan papan tanda pudar tak nampak,”jelasnya.
Antara nahas yang pernah berlaku di laluan itu adalah melibatkan seorang pemandu treler membawa muatan kayu yang maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan treler muatan paip besi pada 26 Mei tahun lalu.
Nahas seterusnya adalah pada 5 Ogos 2022 yang mengorbankan tiga nyawa serta empat cedera selepas tiga kenderaan terbabas di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat berdekatan Rompin.-KOSMO! ONLINE