SEBERANG PERAI – Kerajaan Negeri Kedah mempelawa Pulau Pinang untuk mendapatkan lebihan air bersih dari negeri itu yang disimpan di Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar di Kedah.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya sedia menjual bekalan air bersih kepada Pulau Pinang bagi mengatasi isu air yang membelenggu penduduk Nibong Tebal khususnya Sungai Bakap.
“Saya ada lebihan air di LRA Lubuk Buntar. Kalau nak, ‘mai’ (datang) beli, saya boleh jual. Ada lebihan air di situ…dengan suci hati (akan jual).
“Tapi, syarat dia, (Pulau Pinang) kena beli. Tak boleh ambil ‘free’ (percuma) macam di Sungai Muda (Kedah),” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) PN bagi kerusi N20 Sungai Bakap di pekarangan pejabat Pas Kawasan Nibong Tebal, di sini, malam kelmarin.
Terdahulu, ketika berucap sempena majlis tersebut, Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat memberitahu, PN akan menggunakan segala saluran yang ada ketika ini dan tidak hanya di media sosial bagi menyalurkan maklumat kepada rakyat semasa berkempen pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Hal ini katanya, terdapat segelintir pihak yang mula menyekat kandungan berkaitan PN yang dimuat naik ke dalam media-media sosial.
“Kita sedar, ‘depa’ (Kerajaan Perpaduan) dah mula sekat kita (melalui penggunaan media sosial). Tapi, kita akan lipatgandakan lagi (hantaran). Ketika itu, kita boleh lihat berapa banyak ‘content’ (kandungan) yang mereka mahu sekat,” katanya.
Tambah Muhammad Sanusi, meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan atau cabaran, jentera PN di seluruh kawasan akan ‘dikerah’ untuk turun membantu kempen Pas di Sungai Bakap sekali gus mempertahankan kemenangan yang diraih pada kerusi tersebut ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kerusi DUN Sungai Bakap pada 22 Jun dan 2 Julai selain memilih tarikh 6 Julai sebagai hari pengundian.
Pilihan raya tersebut terpaksa diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan yang mewakili PN, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.