KANGAR – Tempoh reman seorang pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) berkaitan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri itu disambung tiga hari lagi.
Dua lagi suspek yang juga merupakan seorang imam dan anak lelaki turut disambung reman sehingga 12 Jun bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
Menurut sumber, pegawai penyiasat badan pencegah rasuah itu memohon tempoh tahanan reman selama seminggu, namun mahkamah hanya membenarkan tiga hari.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan untuk membekukan akaun suspek terlibat dalam kes ini bagi membantu siasatan dan perkara tersebut masih lagi diteliti,” katanya ringkas.
Sementara itu, peguam yang mewakili ketiga-tiga suspek, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan berkata, mereka berhujah mengikut nas perundangan tiada keperluan untuk sambungan reman.
“Pegawai penyiasat SPRM memohon tempoh reman tujuh hari maksimum tetapi kami membantah kerana anak guam memberikan kerjasama baik.
“Soal siasat berkait pertuduhan asas mengenai suapan telah dijawab, dokumen diperlukan juga telah diserahkan selain minit notis telah dihantar kepada JAIPs untuk membenarkan siasatan dilakukan,” jelas Zuhair.
Kosmo! pada 5 Jun lalu melaporkan seorang pegawai kanan JAIPs antara tiga direman SPRM berkaitan kes menerima suapan lebih RM1 juta bagi memudahkan urusan pendaftaran pernikahan di negeri itu.
Dua lagi suspek anak beranak yang juga merupakan imam sebuah masjid dan pemilik syarikat masing-masing berusia 52 dan 25 tahun. – KOSMO! ONLINE