fbpx

Malaysia, negara anggota D-8 lulus resolusi kutuk keganasan ke atas Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Malaysia bersama Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) sebulat suara meluluskan resolusi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan berterusan oleh Israel di Gaza dan Wilayah Palestin yang diduduki.

Resolusi berkenaan dicapai menerusi Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri D-8 berkaitan Situasi di Gaza, semalam di Istanbul, Turkiye.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan memaklumkan, delegasi Malaysia diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut dihadiri oleh rakan sejawat beliau dari negara-negara Anggota D-8.

Mereka sepakat menuntut gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat serta menyokong usaha-usaha pemulihan ekonomi serta pemulihan Gaza selepas pengunduran rejim Israel.

“Di Mesyuarat itu, Mohamad menegaskan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin dan menekankan empat perkara utama iaitu supaya D-8 secara sebulat suara menyokong pelaksanaan gencatan senjata kekal.

“Selain itu menggesa dana dan bantuan kepada Israel dihentikan termasuk kerjasama ekonomi yang menyumbang kepada ketenteraan dan kependudukan haram rejim Israel,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, Malaysia turut mahu bantuan kemanusiaan ditingkatkan dan memastikan bantuan dapat disampaikan dengan selamat dan tanpa halangan kepada Palestin.

Dalam mencapai semua perkara ini, Malaysia berpendirian untuk menubuhkan kerjasama di antara D-8 dan Palestin.

“Malaysia dan Negara-negara Anggota D-8 yang lain bersama menyatakan solidariti dan sokongan jitu kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mencari penyelesaian terhadap krisis yang berlaku di Gaza, seperti digariskan dalam deklarasi mesyuarat tergempar itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, KLN berkata, Mohamad turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Luar Negeri Turkiye, Hakan Fidan yang mana kedua-dua pemimpin bertukar pandangan berhubung pelbagai isu kerjasama antarabangsa, serantau dan dua hala yang berkepentingan, terutamanya berkenaan isu Gaza.

Selain itu, beliau bertukar-tukar pandangan dengan rakan-rakan sejawat yang lain mengenai langkah-langkah yang boleh diambil oleh D-8 untuk meningkatkan usaha dalam mencari jalan penyelesaian kepada kesengsaraan yang menimpa rakyat Palestin.

Penyertaan Malaysia di Mesyuarat Tergempar tersebut adalah sebahagian daripada usaha-usaha berterusan dan komitmen jitu negara dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

Kata kenyataan itu, usaha negara diteruskan melalui penyertaan Menteri Luar Negeri ke Persidangan Peringkat Tinggi “Call for Action: Urgent Humanitarian Response for Gaza” pada 11 Jun ini di Jordan.

“Penyertaan Malaysia di Persidangan ini, atas jemputan Raja Jordan, Raja Abdullah II, Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

“Ia mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa ke atas komitmen Negara membantu rakyat Palestin,” katanya.

Di samping itu, Menteri Luar Negeri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau untuk memperkukuhkan hubungan dua hala, serta meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai sektor, termasuk kerjasama penyaluran bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Malaysia kekal komited dalam usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan Palestin diterima sebagai Anggota Penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI