COPENHAGEN – Seorang lelaki yang ditahan kerana menyerang Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen didakwa di sebuah mahkamah di Copenhagen, lapor akhbar Metro UK semalam.
Polis berkata, suspek berusia 39 tahun itu kini ditahan reman selama 12 hari.
Dia didakwa di bawah seksyen 119 subseksyen Kanun Jenayah kerana melakukan keganasan dan ugutan, serta menyerang individu dalam perkhidmatan awam atau pejabat.
Dalam kejadian petang kelmarin, Frederiksen mengalami kecederaan ringan selepas diserang di Kultorvet, Copenhagen, demikian menurut pegawai beliau.
Pemimpin parti Demokrat Sosial berhaluan tengah itu terkejut dengan serangan jalanan tersebut, namun tidak menjelaskan kecederaan yang dialaminya.
Beliau dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Suspek, yang merupakan warga Poland dan tinggal di Denmark sejak 2019, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Pada perbicaraan petang semalam di Frederiksberg, dia ditanya sama ada boleh mengingati apa yang dilakukan dalam kejadian tersebut.
“Sejujurnya, tidak (ingat), tidak terlalu banyak,” katanya kepada mahkamah sambil menambah, dia hanya mahu berseronok bersama rakan pada malam minggu.
Stesen berita Denmark, TV 2 melaporkan bahawa suspek berada dalam keadaan mabuk ketika menyerang Frederiksen.
Menurut polis, suspek menolak Frederiksen yang sedang berjalan, manakala tindakan itu dipercayai dilakukan secara spontan. – AGENSI