PORT DICKSON – Peraturan dan undang-undang sedia ada berkaitan penggunaan vape atau rokok elektronik di negara ini boleh disemak dan dipinda pada masa akan datang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, rokok elektrik itu dikawal selia di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang akan dikuat kuasa secepat mungkin.
“Dalam hal undang-undang tiada yang statik, kita akan terus menilai dan menimbang demi mencapai kesejahteraan awam. Buat masa ini kita ambil sikap mengawal selia semua produk merokok termasuk rokok elektronik.
“Mungkin mudah untuk mengharamkan, namun kita ambil sikap itu dan kekal dengan sikap itu. Sangat penting untuk penguatkuasaan di semua peringkat, bukan sahaja di Kementerian Kesihatan tetapi kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan juga pihak berkuasa tempatan semua kena gembleng tenaga,” katanya selepas program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap di sini hari ini.
Dzulkefly mengulas laporan media berhubung rancangan Hong Kong untuk melakukan pengharaman menyeluruh terhadap e-rokok selepas mengambil kira kesan terhadap kesihatan ke atas golongan muda. – KOSMO! ONLINE