GERIK – Dua ekor gajah jantan yang berkeliaran dan merosakkan tanaman penduduk di Felda Bersia dekat sini ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dalam operasi yang dijalankan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) pada Ahad dan Rabu lalu.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, mamalia diberi nama ‘Yob Malam’ dan ‘Yob Embun’ itu ditangkap susulan aduan yang diterima berkaitan gangguan oleh haiwan tersebut merosakkan tanaman getah dan kelapa sawit sejak Januari lalu.
“Kedua-dua gajah jantan itu dipercayai daripada kumpulan gajah (ID) Belum. Proses translokasi kedua-dua gajah liar itu dilakukan selama dua hari dibantu dua ekor gajah denak iaitu Rambai dan Sanum. Operasi melibatkan 12 kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Pahang bersama dua kakitangan Pusat Santuari Gajah (JES) Johor dan 10 kakitangan Perhilitan Perak,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yusoff, operasi membawa keluar Yob Malam yang dianggarkan berusia 24 tahun dengan anggaran berat dua tan bermula pukul 9.30 pagi (hari ini) dan berakhir pukul 1.30 petang tadi, manakala Yob Embun berusia 19 tahun dengan berat dianggarkan 1.8 tan akan dibawa keluar dari lokasi tangkapan esok untuk dipindahkan ke Taman Negara di Terengganu. – KOSMO! ONLINE