LONDON – Pasukan Chelsea tidak menunggu lama untuk mendapatkan pengganti Thiago Silva selepas mengesahkan kehadiran tonggak kelahiran England, Tosin Adarabioyo yang menandatangani kontrak secara percuma kelmarin.
Adarabioyo yang berusia 27 tahun bersetuju dengan terma yang ditetapkan dalam kontrak tawaran Chelsea untuk tempoh empat tahun sekali gus melengkapkan perpindahan daripada kelab seteru London, Fulham.
Adarabioyo yang merupakan bekas pemain remaja Manchester City mengakui sangat gembira apabila dapat menyarung jersi salah satu kelab terbaik di England dan harap mampu beri sumbangan yang diharapkan pada kempen musim depan.
“Chelsea adalah kelab yang besar dan sudah tentu saya gembira untuk mewakili kelab ini. Stamford Bridge juga adalah lokasi yang istimewa dalam hidup saya kerana saya membuat debut profesional di sana ketika mewakili CIty.
“Harapan saya cukup besar untuk menawarkan sesuatu yang berbeza buat pasukan khususnya di benteng pertahanan. Antara kelebihan yang saya miliki adalah corak permainan keras selain mentaliti kepimpinan untuk memacu pasukan melakar kemenangan,” katanya.
Sementara itu, pengarah sukan The Blues, Paul Winstanley dan Laurence Stewart dalam satu kenyataan mengakui pihak kelab sangat gembira dapat meyakinkan Adarabioyo untuk ke Stamford Bridge meskipun mendapat tentangan sengit daripada kelab pencabar lain.
Sebelum ini skuad The Blues terdesak untuk mencari pemain pertahanan baharu selepas tonggak berpengalaman dari Brazil, Thiago Silva membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak dan berhijrah secara percuma ke pasukan Fluminense. – AGENSI