KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyarankan peniaga makanan menyediakan sekurang-kurangnya satu hidangan Menu Rahmah di premis mereka.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, ia merupakan salah satu langkah menarik lebih ramai peniaga untuk layak memperoleh Kad Diskaun Khas Menu Rahmah secara automatik, berbanding prosesnya sebelum ini mengambil masa selama enam bulan.
Menurutnya, peniaga tersebut juga berpeluang mendapat tawaran diskaun untuk membeli barangan keperluan perniagaan sehingga 40 peratus.
“Oleh itu, kita sangat menggalakkan peniaga makanan menyediakan sekurang-kurangnya satu hidangan Menu Rahmah sekali gus dapat membantu pengguna.
“Seramai 117 peniaga makanan telah berdaftar sejak Kad Diskaun Khas Menu Rahmah diperkenalkan pada November lalu. 64 peniaga daripada jumlah itu dari Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah dan Kad Meriah Borong Mydin di Mydin Mall, Tunjong di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE