fbpx

PATI sembunyi bawah lori, terjun dari kontena elak dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pekerja asing ditahan dalam Ops Sapu disebuah penempatan pekerja di Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru hari ini.-Foto RAJA JAAFAR ALI

PONTIAN – Beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak bersembunyi di bawah lori dan terjun dari kontena ketika serbuan Ops Sapu dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) negeri Johor hari ini.

Usaha mereka bagaimanapun gagal apabila ditahan menerusi dua serbuan berasingan di Kampung Sungai Senai di sini dan Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru awal pagi hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, operasi pertama dilakukan bermula pada pukul 12.45 tengah malam di sebuah tapak pembinaan di Kampung Sungai Senai, Pontian.

Menurutnya, ketika pasukan serbuan sampai ke lokasi, ada beberapa warga asing bertindak cuba meloloskan diri dengan melarikan diri ke dalam semak dan bersembunyi di bawah lori.

“Bagaimanapun kecekapan pasukan serbuan, JIM berjaya menahan dan memeriksa 252 warga asing yang tinggal di kawasan tapak pembinaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut seramai 92 lelaki warga asing berusia 20 hingga 40 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan. Mereka ialah lelaki Bangladesh seramai 53, China (30), India (4), Indonesia (4) dan Pakistan (1),”katanya ketika ditemui selepas operasi dijalankan di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan itu juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 62 tahun turut diberkas dipercayai penjaga rumah kongsi di tapak pembinaan terbabit.

Jafri berkata, dalam serbuan kedua pada pukul 3.20 pagi pula, seramai 775 warga asing diperiksa ketika operasi dilakukan di rumah kongsi tapak pembinaan di Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati 122 warga asing masing-masing berusia 20 hingga 40 tahun diberkas selepas gagal mengemukan dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.

Ujarnya, mereka terdiri daripada 70 lelaki warga Bangladesh, Indonesia (31), Myanmar (20) dan Pakistan (1).

Beliau menambah, seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Dalam serbuan kedua ini, ada seorang lelaki Indonesia bertindak terjun dari kontena untuk melarikan diri namun gagal dan diberikan rawatan selepas mengalami kecederaan luka pada tangan dan kaki.

“Dalam operasi ini juga, kita berjaya menahan beberapa lelaki Bangladesh menggunakan kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) palsu,”katanya.

Beliau berkata, kesemua PATI dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI