KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang tular duduk di struktur jejambat Bulatan Pahang, di sini, semalam, disyaki mengalami masalah mental.
Wanita yang merupakan Orang Asli berjaya diselamatkan dengan bantuan orang awam.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang.
“Tiada laporan diterima babit kes ini, ia bukan kes cuba bunuh diri, wanita ini disyaki ada masalah mental dan telah diserahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan dipercayai akibat dikelar sendiri.
“Wanita itu seterusnya diserahkan kepada pihak polis,” ujarnya.
Rakaman video berdurasi satu minit 14 saat yang memaparkan kejadian mangsa cuba diselamatkan orang awam tular di media sosial hari ini.
Menerusi video itu, dapat dilihat orang awam berjalan di struktur jejambat bagi menghampiri dan memujuk wanita terbabit.
Pada masa sama, anggota bomba juga dilihat bersiap sedia dengan aset jentera di bawah jejambat berkenaan. -KOSMO! ONLINE.