Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LIPIS – Potensi yang ada dalam industri pertanian dan penternakan mendorong seorang pelakon, Mohd. Amerul Affendi Mohd. Mawardi, 35, melibatkan diri dalam penternakan kerbau.
Mohd. Amerul Affendi yang membintangi banyak filem seperti Paskal, Bunohan dan Polis Evo berkata, industri penternakan amat berpotensi dan dia tidak kekok untuk melibatkan diri menternak kerbau.
“Saya memang budak kampung dan dari kecil lagi biasa dengan haiwan ternakan kerana datuk saya memelihara lembu, jadi tidak timbul soal kekok dan saya lihat penternakan punyai potensi yang besar.
“Sekarang saya mempunyai kira-kira 27 ekor kerbau yang diternak di kawasan Kampung Kelibau dan saya bertekad terus meningkatkan lagi jumlahnya dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jelajah Agropreneur Muda Peringkat negeri di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Sungai Koyan di sini hari ini.
Pada majlis itu, Mohd. Amerul Affendi menerima geran bantuan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Menurutnya, pada peringkat awal dia hanya menternak dua ekor kerbau kira-kira empat tahun lalu dengan membuat kandang menggunakan kayu terpakai dan jumlah kerbau terus meningkat dari semasa ke semasa.
Katanya, cabaran yang dilaluinya dalam penternakan kerbau hanyalah apabila kandang pecah sehingga perlu mencari kerbau selain ancaman daripada pencuri haiwan ternakan.
“Kalau ada penggambaran, ayah saya akan tolong jaga kerbau. Kalau musim hari raya pula, perhatian lebih perlu diberikan bagi mengelakkan dicuri.
“Saya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang memberikan bantuan geran yang akan saya gunakan sebaik mungkin khususnya membaiki kandang,” ujarnya. – K! ONLINE