PETALING JAYA – Pinjaman peribadi menjadi jalan terakhir bagi mereka yang berdepan masalah kewangan, namun ada segelintir pihak membuat pinjaman tersebut semata-mata untuk hidup mewah.
Menerusi ciapan di aplikasi X, seorang pengguna membangkitkan persoalan mengenai tindakan segelintir individu memilih untuk membuat pinjaman peribadi untuk hidup mewah, namun hakikatnya mereka menanggung hutang.
“Bekas rakan sekerja cakap sekarang ada trend orang muda buat pinjaman peribadi semata-mata nak pergi melancong! Lepas itu update (muat naik) ‘story’ (di media sosial) pergi melancong macam orang kaya,” katanya.
Ciapan itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna lain, malah ada yang mengakui perkara tersebut pernah terjadi di sekeliling mereka.
“Ya benar, saya terkejut selain daripada itu, ada yang membuat pinjaman peribadi untuk membeli beg tangan berjenama. Saya pernah tanya, kenapa gaji RM2,000 hingga RM3,000 tapi boleh pakai barangan harga berlipat kali ganda, rupa-rupanya buat pinjaman.
“Makin berleluasa, ada kenalan buat pinjaman peribadi sebab mahu beli barang mekap mahal, jalan-jalan makan angin dalam Malaysia saja.
“Cerita benar saya terpengaruh dengan ansuran bulanan beli ‘Iphone13 mini’, bayar RM1,500 lebih tinggi berbanding harga biasa (pasaran).
“Padahal saya ada PhD (Doktor Falsafah) dan mampu berfikir waras. Tapi godaan dunia dan hype (kebiasaan masa kini) ini memang tempting (menduga).
Pinjaman peribadi merupakan hak masing-masing, namun berpada-pada dalam membuat pinjaman termasuk kepada pihak bank supaya tidak membebankan masa hadapan sendiri. – KOSMO! ONLINE.