MONTREAL, KANADA – Pelumba Ferrari, Charles Leclerc memberi amaran bahawa perlumbaan Grand Prix (GP) Kanada pada hujung minggu ini membuka peluang kepada Ferrari mengalahkan Red Bull sekali lagi selepas mereka mencipta kemenangan di Monaco.
Leclerc melihat peluang itu ada selepas merasakan bahawa Litar Montreal mungkin tidak sesuai buat jentera kereta Red Bull RB20 sekali gus mengehadkan potensi pasukan itu.
“Sudah pasti Monaco sangat menguntungkan bagi Ferrari dan mungkin kemenangan tersebut mampu diulangi di Montreal.
“Saya rasa Red Bull mungkin tidak dapat menyerlahkan kekuatan mereka di litar ini, jadi sekali lagi ia adalah peluang besar bagi kami,” katanya.
Leclerc yang berjaya mengurangkan jurang dengan Verstappen kepada 31 mata selepas kemenangannya di Monaco mengakui dia tidak memikirkan soal gelaran dunia.
“Saya tidak memikirkan tentang kejuaraan lagi. Tetapi, matlamat utama adalah untuk memenangi perlumbaan pada setiap hujung minggu.
“Saya masih percaya Red Bull mempunyai kelebihan dalam prestasi. Nasib kami baik kerana di Imola, Monaco dan mungkin trek ini tidak menonjolkan kekuatan jentera mereka.
“Tetapi, saya percaya perlumbaan di Barcelona dan seterusnya kita mungkin akan melihat Red Bull lebih baik seperti pada awal tahun ini.
“Jadi, kami perlu mengambil setiap peluang dan kemudian mencari ruang terbaik untuk berada di depan mereka,” kata Leclerc. – AGENSI