PETALING JAYA – “Saya tak malu, malah bangga suami seorang badut sebab itu saya sendiri tawar diri untuk promosikan dia.”
Demikian kata Norsalina Abdul Aziz, isteri Muhammad Ar-Rabi Ab Ghani yang terlibat dalam perkhidmatan badut secara sepenuh masa.
Norsalina, 35, mengakui dia sendiri yang mencadangkan suaminya supaya memberi fokus sepenuhnya terhadap kerjaya sebagai badut sejak tahun 2017.
“Masa tahun 2010, sejak dari sebelum kahwin suami membuat kerja sambilan sebagai badut, tetapi dia bekerja di bawah orang.
“Semasa itu suami ada kerja tetap sebagai ‘dispatch’ (penghantar barang) dan bila ada waktu cuti dia akan menjadi badut untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Selepas kahwin, saya lihat bakat suami boleh diketengahkan dan dia juga pandai menghiburkan orang lain terutama kanak-kanak. Dari situ saya ambil tugas buat promosi untuk iklankan perkhidmatan suami dan jalankan bisnes sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, dia dan keluarga tidak pernah berasa malu dengan kerjaya suaminya sebagai badut kerana menganggap usaha itu sebagai komitmen suami menampung keperluan hidup mereka.
Menurut Noraslina, setiap tahun dia akan menjahit satu pakaian baharu untuk menambah kostum badut suaminya sambil menyusun jadual kerja lelaki itu.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, selain menyediakan perkhidmatan badut, dia dan suami turut menjalankan beberapa perniagaan lain antaranya ‘face painting’ dan ‘sand art’.
Bercerita lanjut, Norsalina memberitahu hasil perkhidmatan badut suaminya ini mampu meraih pendapatan kira-kira RM6,000 sebulan, bagaimanapun ia bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Kami ambil tempahan seperti majlis hari jadi, kenduri akikah, fun run dan beberapa bentuk majlis santai yang lain.
“Kami tak jalankan secara terbuka di kawasan rekreasi seperti mana yang dilakukan tukang badut yang lain,” ujarnya.
Jelas Norsalina, kini permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan badut bagi memeriahkan majlis bersama kanak-kanak semakin bertambah dan membuka rezeki luas buat keluarga kecil mereka. – KOSMO! ONLINE.