PETANI-PETANI di sebuah perkampungan di Republik Sakha, Rusia menghias cantik lembu-lembu mereka dengan pakaian indah dalam satu pertandingan ratu cantik lembu.
Pertandingan ratu cantik lembu itu merupakan acara tahunan dan kali kedua dianjurkan bagi menobatkan lembu tercantik dengan kreativiti petani menghias haiwan belaan mereka.
Pemilik lembu dari seluruh republik itu yang sebelum ini dikenali sebagai Yakutia tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan tersebut demi merebut gelaran lembu tercantik.
Bagi makhluk yang selalu dinilai semata-mata untuk susu dan daging pastinya pertandingan kecantikan ini memberi persepsi baharu kepada haiwan itu.
Walaupun begitu, ada juga yang mengkritik pertandingan tersebut kerana tumpuan mereka kepada penampilan fizikal lembu sahaja.
Salah seorang pemilik lembu tersebut yang ingin dikenali sebagai Alexsey memberitahu, pertandingan ratu cantik lembu yang diadakan secara tahunan itu sangat meriah dan membuatkan mereka lebih kreatif.
“Haiwan-hawian tersebut akan digayakan dengan pakaian cantik dan mewah serta disolek dengan warna terang semata-mata untuk menarik perhatian juri.
“Lembu-lembu itu turut disolek dengan pemerah pipi dan pembayang mata,” cerita lelaki lima orang cahaya mata itu.
Tambah Alexsey, lembu-lembu itu juga dipakaikan topi dan pengikat kepala dengan bunga-bungaan berwarna-warni.
Bagi menyerlahkan kecantikan lembu-lembu itu, haiwan tersebut turut dipakaikan aksesori seperti barangan kemas.
Tidak kurang juga, lembu-lembu tersebut turut digayakan dengan busana tradisional yang diinspirasikan daripada filem klasik Hollywood.
Lebih menarik, seorang petani telah menggayakan lembu betina dan jantan miliknya dengan busana pengantin.
Pertandingan pada kali ini berpihak kepada lembu jantan kembar yang diberi nama Ootoy and Tootoy.
Menggayakan jaket dan topi pelayar, pasangan kembar itu dinobatkan sebagai lembu tercantik pada tahun ini.
Benarlah kata orang, kecantikan itu subjektif dan ia bergantung kepada orang memandangnya.
Pertandingan secara online itu merupakan anjuran oleh Pusat Pertukangan Penduduk Kampung Tyolyoy iaitu wilayah terkenal dengan produk tenusu.
Ketua Kampung Tyolyoy, Igor Nikolaev berkata, pertandingan terbuka ini cukup sengit antara penduduk sekitar wilayah itu.
“Kita dapat menyaksikan pelbagai gelagat pemilik lembu yang menghias haiwan peliharaan mereka.
“Sedikit sebanyak, pertandingan ini dapat menambahkan keceriaan kepada penduduk kampung yang kebanyakannnya merupakan petani dan penternak lembu susu,” ujarnya.
Pertandingan lembu ini diambil daripada kalendar China dan kemenangan lembu kembar itu merupakan petanda yang baik untuk Tahun Lembu pada tahun hadapan.