PETALING JAYA – Gara-gara bencikan watak Sally dalam drama rantaian Aku Bukan Ustazah, pelakon Haneesya Hanee yang membawakan karakter wanita menjengkelkan itu menjadi sasaran kemarahan netizen.
Ujar Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 24, ada dalam kalangan individu terbabit meninggalkan komen menghina paras rupanya terutama mengutuk warna kulit.
“Awak ingat saya suka ke lelaki suka ‘judge’ perempuan lain? Awak ingat saya suka ke lelaki menghina, mengutuk perempuan lain?
“Awak ingat saya suka ke lelaki menghina ciptaan Tuhan? Awak ingat saya suka ke lelaki perasan dia sempurna?” katanya dalam video di aplikasi TikTok.
Pelakon dan model itu berharap penonton tidak terbawa-bawa emosi apabila mengikuti kisah dalam drama atau filem sehingga sanggup menyerang dengan kata-kata menyakitkan.
Haneesya juga menegaskan tidak kisah menerima komen berkaitan lakonan, bukan dilemparkan kecaman membabitkan kulit seperti yang biasa diterima sebelum ini.
“Saya faham awak semua sakit hati dengan Sally, itu Sally, saya bukan Sally. Kalau nak menghina pun agak-agaklah.
“Tapi tinggalkan komen-komen negatif seperti ini sia-sia, buat dosa, Tak perlu,” ujarnya.
Perkongsian tersebut dibuat bagi menjawab kutukan seorang pengikut laman sosialnya yang mengatakan lelaki tidak mengemari wanita berkulit gelap.
“Ingat lelaki suka kulit gelap,” tulis komen berkenaan.
Situasi tersebut tercetus berikutan satu babak dalam drama terbitan Global Station itu yang mengakibatkan individu terbabit sakit hati.
Begitupun, masih ramai peminat mempertahankan Haneesya bahkan memuji kulit bersihnya tanpa sebarang solekan.
“Aku yang cerah ni pun bibir tak merah jambu macam dia walaupun tanpa mekap. Cantik,” ujar netizen.
Aku Bukan Ustazah yang disiarkan di TV3 turut membariskan MK K-Clique, Erysha Emyra dan Zahiril Adzim. – KOSMO! ONLINE