KLANG – Pendapatan sampingan sehingga mencecah RM2,000 untuk setiap perjalanan membuatkan ada nelayan gelap mata menjadi pemandu bagi aktiviti memancing tanpa lesen yang sah di negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, antara lokasi tumpuan berlakunya kegiatan tersebut adalah di daerah ini dan Kuala Selangor.
Katanya, seseorang nelayan perlu mendapatkan lesen atau sijil kompetensi (COC) dari Jabatan Laut yang sama konsepnya seperti lesen memandu kenderaan di darat.
“Lebih buruk apabila ia telah menjadi suatu budaya meskipun ada kesedaran bahawa perlakuan tersebut salah dan boleh ditahan penguat kuasa.
“Namun, disebabkan pendapatannya yang lumayan dengan satu trip boleh menjana pendapatan sehingga RM1,000 hingga RM2,000 membuatkan mereka melanggar arahan tanpa memikirkan keselamatan dan nyawa orang awam.
“Lagi-lagi Selangor ini menjadi tempat tumpuan orang ramai dengan itu, ada nelayan mengambil kesempatan membawa bot rekreasi secara haram,” katanya kepada Kosmo!, hari ini.
Menurut beliau, sebenarnya tiada halangan untuk para nelayan membawa pemancing di atas bot nelayan tersebut, namun perlulah mematuhi dasar dan prosedur yang telah ditetapkan.
“Kelazimannya mereka yang ingin mendapatkan COC perlu menjalani kursus selama tujuh hari bersama Institut Latihan Pengangkutan Laut atau pusat bertauliah dari Jabatan Laut Malaysia.
“Selain itu, terdapat peperiksaan khas sebelum diberikan sijil atau lesen tersebut,” ujarnya.
Noraisyah memberitahu, pihaknya telah menahan sebuah bot nelayan Zon A di kedudukan 1.81 batu nautika dari Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 20 April lalu.
Ujarnya, dalam kejadian kira-kira 3.15 petang itu didapati bot tersebut telah melanggar syarat lesen iaitu membawa kru melebihi bilangan yang ditetapkan dan membawa penumpang tanpa kelulusan oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat empat pemancing sedang memancing di atas bot nelayan berkenaan.
“Pemilik vesel juga gagal mengemukakan dokumen kelulusan daripada Pengarah Jabatan Laut bagi membawa penumpang ketika diperiksa,” katanya.
Tegas beliau, kes disiasat di bawah Perkara 18, Peraturan-Peraturan Perikanan (Kelautan)(Pelesenan Vesel Penangkapan Ikan Tempatan) 1985 dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985. – KOSMO! ONLINE