PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan cuaca cerah dan baik tanpa hujan di seluruh negara pagi ini.
Sementara itu, bagi cuaca sebelah petang, MetMalaysia menjangkakan ribut petir dan hujan lebat di kebanyakan tempat seluruh negara kecuali di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
“Hujan lebat berserta ribut petir dijangka tertumpu di beberapa tempat melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Ribut petir turut dijangka melanda di beberapa di kawasan pedalaman Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya hari ini.
Menurut MetMalaysia, di Sabah pula, cuaca buruk sama dijangka tertumpu di hampir keseluruhan negeri Sabah terutamanya Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan, diikuti dengan hampir seluruh kawasan di Sarawak.
Dalam pada itu, bagi cuaca sebelah malam pula, ribut petir dijangka tertumpu di kawasan pedalaman Pahang, serta hujan lebat di beberapa tempat melibatkan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Cuaca hujan dan lembap pula diramalkan di beberapa tempat melibatkan kawasan pedalaman di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Selain itu, cuaca buruk sama turut dijangka di Malaysia timur melibatkan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan, Kudat dan Labuan di Sabah serta Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang di Sarawak menjelang malam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE