LOS ANGELES, California – Seorang pesohor YouTube yang didakwa mengarahkan sebuah helikopter menembak bunga api ke arah kereta Lamborghini sedang memecut laju untuk klip video ‘tidak waras, tidak cerdik’, telah ditangkap di negeri California, kata pihak pendakwa raya Amerika Syarikat semalam.
Suk Min-choi atau lebih dikenali sebagai Alex Choi, memiliki hampir satu juta pengikut untuk saluran YouTube miliknya yang menjanjikan ‘aksi kereta terhebat’.
Bagaimanapun, adegan lagak ngeri pesohor YouTube berumur 12 tahun yang dirakam di sebuah tasik kering di California tahun lalu itu mengakibatkan dia didakwa atas kesalahan ‘mengangkut peralatan atau bahan letupan di dalam pesawat’.
Sekiranya didapati bersalah, Choi boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun.
Dalam klip video berjudul Destroying a Lamborghini with Fireworks itu, Choi didakwa menekan butang ‘tembak misil’ sementara dua wanita yang turut berada di dalam helikopter itu melepaskan tembakan bunga api ke arah sebuah kereta sport Lamborghini.
Adegan di belakang tabir termasuk Choi mengaku menyelaraskan babak tembakan tersebut, demikian menurut kertas pendakwaan.
Video berdurasi 11 minit itu telah dipadamkan daripada halaman YouTube Choi.
Jabatan Kehakiman menyatakan, helikopter itu terbang rendah menghampiri daratan tanpa permit.
Choi dipercayai membeli bunga api itu di Nevada kerana ia diharamkan di negeri California.
Dia dihadapkan ke sebuah mahkamah di Los Angeles semalam, manakala perbicaraan kes itu akan berlangsung dalam tempoh beberapa minggu lagi. – AFP