fbpx

Tugasan ‘on call’ akan disemak semula – Dzulkefly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyemak semula amalan sedia ada seperti tugasan dalam panggilan (on-call) yang terlalu panjang sebagai langkah untuk menangani isu beban kerja melampau yang dialami oleh petugas kesihatan di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya juga bersetuju dengan seruan agar satu anjakan budaya dapat dilaksana supaya kesihatan dan kesejahteraan petugas kesihatan dapat terus diiktiraf.

Beliau berkata, anjakan ini termasuk dengan mewujudkan keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan dan struktur upah yang lebih saksama.

“Walaupun pengumuman kenaikan gaji untuk penjawat awam baru-baru ini adalah langkah permulaan yang baik, inisiatif di KKM turut meliputi insentif bukan kewangan.

“KKM juga mengambil langkah lain yang rencam untuk menangani cabaran cabaran sedia ada termasuklah dengan mengoptimumian taburan pesakit dengan adanya kluster hospital dan mengadakan kerjasama awam-swasta untuk aktiviti penyumberluaran,” jelasnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, KKM juga memanjangkan tempoh operasi klinik kesihatan untuk mengurangkan bebanan di hospital selain mengenal pasti kesenjangan tenaga kerja melalui tinjauan bekalan dan permintaan yang sedang dibuat dengan kerjasama Bank Dunia.

Bagaimanapun, menurut Dr. Dzulkefly, pembinaan sebuah sistem kesihatan yang berdaya tahan dan mampan memerlukan sebuah strategi pembiayaan yang komprehensif dan jangka panjang.

“Dalam konteks ini, pasukan transformasi kesihatan KKM bersedia untuk berkongsi idea melalui sesi-sesi libat urus.

“Selari dengan anjakan paradigma KKM daripada rawatan kepada pencegahan penyakit secara proaktif, KKM juga ingin menyeru rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

“Hal ini penting terutamanya susulan pendedahan kadar prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) yang agak serius dalam dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan terbaharu,” ulasnya.

Oleh itu, beliau menyeru agar para profesional kesihatan KKM terus bersabar sementara transformasi yang dirancang dapat dilaksana.

“Persefahaman dan sumbangan berterusan semua pihak amatlah dihargai, terutamanya bagi menjayakan perubahan positif yang diusahakan.

“KKM komited untuk menangani isu-isu ini secara serius, dan memberi jaminan untuk terus memperkasa strategi mengikut keperluan.

“Dialog secara terbuka haruslah diteruskan agar kemajuan bersama dapat dijayakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI