fbpx

Budi Madani: Bayangan subsidi RON95?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KEMENTERIAN Kewangan baru-baru ini mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani yang melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Penerima yang layak akan disalurkan RM200 sebulan, seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dijangka tidak lama lagi.

Antara yang akan dipertimbangkan termasuk pemilik kenderaan diesel yang diklasifikasikan sebagai mewah, namun usianya sudah uzur melebihi 10 tahun, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Bagi penulis, bantuan RM200 boleh dikatakan agak lumayan dan mencukupi, berdasarkan harga diesel semasa tanpa subsidi, ditambah kadar penggunaan petrol penulis sendiri setiap bulan.

Sebuah platform automotif popular, Paul Tan baru-baru ini membincangkan nilai tersebut dengan lebih terperinci.

“Hari ini (28 Mei 2024), diesel Euro 5 tanpa subsidi dijual pada harga RM3.33 seliter. Berbanding harga kawalan RM2.15, peningkatan 55 peratus, atau sebanyak RM1.18 seliter.

“Menggunakan RM3.33 seliter sebagai harga pasaran (asas), bayaran Budi Madani sebanyak RM200 akan menggantikan perbezaan harga sehingga 169.5 liter diesel sebulan.

“Sekiranya kenderaan anda menggunakan satu liter diesel untuk setiap 10 kilometer perjalanan, subsidi yang diberikan adalah untuk perjalanan sejauh 1,700 kilometer sebulan,” katanya.

Meskipun tidak layak menerima Budi Madani, penulis ada memasang angan-angan menerima bantuan yang lebih kurang serupa sekitar RM200 sebulan pada masa hadapan.

Ini kerana, Budi Madani dirasakan satu bayangan kepada pelaksanaan subsidi bersasar untuk RON95 kelak, yang pastinya ramai di antara kita bakal menikmatinya?

Pengarah Program MBA, Putra Business School Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut bersetuju Budi Madani adalah bayangan kepada program subsidi RON95 bersasar, dari segi bantuan berkenaan mungkin sekali tidak akan diberikan di stesen minyak, sebaliknya dikreditkan secara terus kepada rakyat yang layak.

Pada masa sama, beliau berpandangan kerajaan akan memantau secara rapat sebarang isu dan masalah pelaksanaan Budi Madani supaya penambahbaikan dapat dilakukan untuk subsidi bersasar RON95 nanti.

Ini termasuk nilai bantuan, yang mana beliau mengharapkan ia bakal diberikan pada kadar yang berbeza-beza mengikut keperluan dan kemampuan penerima, berdasarkan faktor seperti saiz isi rumah, bilangan tanggungan, jenis kenderaan dan jarak perjalanan yang biasa ditempuh setiap bulan.

Kesemua maklumat diperlukan ini mungkin sudah tersedia di Pangkalan Data Utama (Padu).

“Selain itu, berbanding dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan atau boleh dituntut secara tunai bagi Budi Madani, bantuan subsidi bersasar R0N95 mungkin boleh dimasukkan ke dalam e-dompet.

“Penggunaan e-dompet ini adalah supaya penerima membelanjakan bantuan diberikan pada tempat yang sepatutnya. Bagi mereka yang tidak memiliki e-dompet, MyKad mungkin satu lagi alat yang boleh digunakan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI