fbpx

Penyeludup tinggalkan 251kg ketum, 9 buah motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebanyak 251 kilogram daun ketum yang dirampas berhampiran sempadan Bukit Kayu Hitam-Padang Besar, Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Demi memastikan diri tidak diberkas polis, sekumpulan lelaki sanggup meninggalkan 251 kilogram daun ketum dan sembilan buah motosikal sebelum lolos masuk ke negara jiran melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Sabtu lalu.

Kesemua sembilan suspek tersebut melarikan diri sebaik melihat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan rondaan Ops Benteng di kawasan Tiang TNB berhampiran sempadan Bukit Kayu Hitam – Padang Besar.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kesemua suspek dipercayai dalam perjalanan menyeludup keluar ketum berdekatan pagar sempadan Malaysia-Thailand.

“Sebaik melihat keadaan kumpulan berkenaan mencurigakan, anggota cuba melakukan pemeriksaan tetapi mereka berjaya melarikan diri ke arah Thailand.

“Bagaimanapun mereka meninggalkan sembilan buah motosikal serta sembilan guni putih yang penuh dengan daun ketum,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Menurutnya lagi, hasil pemeriksaan mendapati daun ketum seberat 251 kilogram yang bernilai RM7,530 itu dibawa menggunakan motosikal untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Penggunaan motosikal membolehkan mereka melalui jalan-jalan tertentu bagi elak dikesan pihak berkuasa, namun PGA telah tingkatkan pengawalan dan operasi bagi memastikan semua laluan tersebut sentiasa diawasi.

“Jumlah keseluruhan rampasan ketum dan sembilan buah motosikal itu bernilai RM50,560 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” ujarnya. K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI