LONDON – Pengarah urusan Ducati Corse, Luigi Dall’Igna mendedahkan bahawa keputusan mendapatkan Marc Marquez adalah satu pertimbangan yang cukup rumit untuk dijelaskan.
Tegas Dall’Igna, misi utama mereka di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) adalah untuk memiliki dua pelumba yang mampu memburu gelaran dunia sekali gus meletakkan Ducati kekal di puncak kejayaan.
“Sudah pasti ia adalah satu keputusan yang rumit dan mengejutkan dilakukan. Kami tahu, ada antara mereka menyayanginya Marquez dan ada antara mereka yang membencinya.
“Tetapi, kami akan mempunyai pasukan terbaik dalam sejarah Ducati dan kami akan mempunyai dua pelumba yang mampu memenangi gelaran dunia. Sudah pasti, Bagnaia dan Marquez akan bersaing memburu gelaran.
“Saya yakin Marquez boleh membuat perubahan pada jentera dan membantu kami mencapai tahap yang luar biasa. Jadi, dengan adanya dua pelumba seperti Marquez dan Bagnaia akan meningkatkan peluang untuk memenangi perlumbaan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai cabaran buat Bagnaia bergandingan bersama Marquez, Dall’Igna berkata, bahawa tiada apa yang perlu dibuktikan kerana pelumba Itali itu telah mencipta dua gelaran dunia.
“Dia tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dibuktikan. Dalam MotoGP dia sudah memenangi dua kejuaraan dunia, dia melakukan perkara yang hebat di atas jentera kami.
“Kami telah menandatangani Pecco (Bagnaia) sebelum dia menjulang gelaran dunia, jadi dia tiada apa-apa untuk dibuktikan,” tambahnya. – AGENSI