fbpx

Tonto laut dapat RM100 dedah maklumat, pantau penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Muhaimin ketika sesi dialog bersama warga nelayan pada majlis HKKM di Jeti Nelayan Pangkalan Kampung Sireh, Klang hari ini. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

KLANG – Bayaran maklumat atau ‘duit kopi’ sehingga RM100 diterima tonto laut menyebabkan pencerobohan bot pukat tunda sukar diatasi khususnya di Selangor.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mereka akan ini akan menyamar sebagai nelayan dengan berada di jeti-jeti bagi memantau pergerakan bot penguat kuasa.

Katanya, mereka ini dibayar oleh pemilik atau taukey bot di kalangan warga tempatan bagi memastikan hasil tangkapan laut yang lumayan.

“Di laut, kita tidak boleh tahan orang sesuka hati dengan tonto ini banyak menyamar sebagai pemancing. Mereka ‘parkir’ depan jeti pun tidak boleh salahkan mereka sebab itu aktiviti (menyamar sebagai pemancing atau nelayan).

“Untuk satu laporan berkemungkinan akan diterima antara RM50 hingga RM100. Justeru, menjadi duit mudah kepada mereka.

“Sebab itu, bila bot kita keluar (untuk buat penguatkuasaan) dalam lima minit bot-bot pukat tunda ini akan memberhentikan aktiviti mereka. Maritim stat enjin, mereka (nelayan pukat tunda) sudah tahu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) di Jeti Nelayan Pangkalan Kampung Sungai Sireh di sini, hari ini.

Menurut beliau, kegiatan pencerobohan itu sehingga kurang dua batu nautika dari pantai tersebut dilakukan bot pukat tunda C yang dikendalikan tekong dan awak-awak yang kebanyakan warga asing.

Abdul Muhaimin menegaskan, nelayan bot pukat tunda itu sentiasa mencari ruang dan masa terutama tiada penguatkuasaan di kawasan tersebut.

“Mereka (bot pukat tunda) memang cari masa dengan waktu dipilih selepas maghrib sehingga awal pagi. Rata-rata mereka juga dari nelayan di bahagian Utara Selangor.

“Tekanan daripada pemilik bot tidak dinafikan dengan mereka keluar ke laut berdasarkan komisen dalam lingkungan 10 peratus hasil tangkapan. Gaji diterima nelayan ini rendah iaitu antara RM1,000 hingga RM1,200,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah tangkapan bot pukat tunda telah dilakukan pihaknya setakat ini.

Sehubungan itu, Abdul Muhaimin menegaskan pihaknya akan mempergiatkan operasi penyamaran bagi mengesan dan menangkap mereka yang terlibat seterusnya memastikan kelestarian hidupan laut.

“Kawasan Pelabuhan Klang antara lokasi kerap berlakunya aktiviti pencerobohan berbanding di bahagian Utara Selangor yang cetek selain banyak industri penternakan kerang,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI