fbpx

Terjun laut, menyorok bawah pelampung elak diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Operasi bersepadu dijalankan pihak berkuasa di dua buah sangkar ikan di perairan Pulau Pinang, semalam.

GEORGE TOWN – Lima penjaga sangkar ikan warga Myanmar nekad terjun ke laut dan menyorok di bawah pelampung yang diubahsuai bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di sekitar perairan negeri ini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, operasi yang diaktifkan pasukan Maritim Malaysia (APMM) melibatkan 70 anggota daripada pelbagai agensi iaitu Pasukan Polis Marin (PPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang.

Menurutnya, perlaksanaannya adalah berikutan pengaktifan Operasi Patkor Optima Malindo 31A/2024 yang merupakan operasi dwi-tahunan secara bersama antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha mengekang jenayah rentas sempadan di Selat Melaka.

“Serbuan telah dilakukan di dua sangkar berbeza membabitkan enam buah aset iaitu dua buah bot peronda dan sebuah jetski masing-masing dari Maritim Pulau Pinang serta Pasukan Polis Marin Wilayah Satu.

“Maritim Malaysia turut menggerakkan Skuadron Selam di bawah koordinasi Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia dalam operasi kali ini,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, ketika serbuan, kesemua suspek cuba melarikan diri dengan terjun ke laut dan pihak berkuasa mengambil masa hampir sejam untuk menaikkan individu terbabit berikutan keadaan laut yang gelap serta persekitaran yang merbahaya.

“Namun usaha ini sia-sia apabila pasukan penyelam yang diturunkan ke dalam laut telah berjaya menahan mereka. Suspek juga turut bertindak agresif serta tidak memberikan kerjasama ketika ditahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua suspek merupakan warganegara Myanmar dan disyaki telah berada di Malaysia secara tidak sah.

“Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke Jeti PPM, Batu Uban dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI