PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta golongan muda kembali ke landasan, seterusnya mengangkat negara menerusi Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani.
Anwar berkata, modul terbabit dirangka berteraskan prinsip Perlembagaan selain turut menghargai sumbangan pemimpin dan pejuang terdahulu.
“Saya mengajak rakan-rakan balik kepada landasan mahu mengangkat negara, mesti dengan keyakinan, mesti dengan semangat perpaduan, semanagat kecintaan kepada negara serta serta keyakinan bahawa negara ini mampu diangkat sebagai negara hebat di mata dunia.
“Ini dengan dasar yang kita cerakin secara jelas, bahawa Malaysia adalah negara dagang, memerlukan kekuatan induk tetapi memerlukan keyakinan luar dan pelaburan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran Modul Latihan Kenegaraan Malaysia Madani di sini tadi.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, modul yang dihasilkan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) bersama rakan kolaboratif memberi penekanan untuk mengenali sejarah negara.
Katanya, perjuangan pejuang terdahulu dan penyertaan semua kaum membolehkan negara ini mencapai kemerdekaan dan berdaulat disebabkan sumbangan mereka.
“Dalam modul ini, kita hargai sumbangan pemimpin, pejuang kemerdekaan terdahulu, daripada semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak kerana mereka mempunyai jasa tetapi menghargai sumbangan jasa lama itu tidak mengikat kita dalam keadaan yang beku.
“Bayangkan ibu bapa miskin, sanggup menyerahkan cincin, gelang dan rantai, (jadi) bekalan untuk pemimpin terbang, biaya ke London, berbincang dengan inggeris untuk tuntut kemerdekaan, namun semangat ini kadang-kadang pudar kerana kita sibuk dengan kepentingan diri tanpa memikirkan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Katanya, Akademi Kenegaraan Malaysia menjadi medan serta gelanggang untuk menanam kasih sayang, semangat perpaduan dan cintakan negara.
“Dalam akademi ini kita harus tegas, tidak mahu terlanjur menjadikan ia medan untuk atau gelanggang untuk memecah belah serta menanam kebencian,” katanya. – KOSMO! ONLINE