PETALING JAYA – Pakar bidang hadis, Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle meminta pendakwah popular, Ustaz Don Daniyal mengemukakan nama rujukan ulama dan kitabnya jika benar-benar bersumber.
Beliau yang juga Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis berkata, ahli sunnah terdahulu telah meletakkan kriteria untuk menyelesaikan isu itu dengan berkata, ‘namakan perawai-perawi kamu’ setiap kali berkongsi hadis.
“Kalau dia (Ustaz Don) kata rujukan dan kitabnya sahih, kongsilah nama kitab dan nama ulama. Hadis daif berbeza dengan hadis yang tidak diketahui asalnya.
“Dalam cerita Ummu Hani’ yang disampaikan Ustaz Don, tidak dinyatakan mana sanadnya dan salasilah perawinya. Kalau ada, sila nyatakan, kita nak semak. Ini masalahnya bila kita semak memang tidak ada.
“Kalau betul-betul hadis itu daif seperti yang didakwa bawa mari sanad. Ini tidak, disebarkan tanpa menyatakan status dan sumbernya. Bagi saya ini tidak berdisiplin dalam menukilkan sesuatu dari Nabi Muhammad S.A.W. Ini melibatkan nama Nabi dan agama yang kita perlu jaga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Muhamad Rozaimi yang juga Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkata, beliau sudah membuat teguran secara terbuka lebih dari sekali untuk meminta Ustaz Don menyatakan sumbernya.
“Saya kecewa dengan respon beliau (Ustaz Don) apabila dia mendakwa kitab dan ulamanya mengatakan sahih tapi tidak diberitahu namanya dan tajuk kitabnya untuk kita semak. Kenapa perlu menyembunyikan nama kitab dan ulama tersebut jika benar kisah yang dikongsikan itu sahih?
“Bukan sekali teguran dibuat. Saya percaya kalau orang lain tentu dah ambil pengajaran,” ujarnya.
Terdahulu, Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal bin Don Biyajid, 40, ‘direhatkan’ daripada program yang sinonim dengan musim ibadah haji, Salam Baitullah ekoran beberapa kontroversi penyebaran hadis tidak bersumber.
Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan status hadis riwayat cinta pertama Rasulullah S.A.W berkaitan kisah Ummu Hani’ di mana penceritaan Ustaz Don dianggap lemah dan hadis digunakan adalah tidak bersumber.
Mengulas mengenai Ustaz Don ‘direhatkan’, Muhamad Rozaimi berkata, tindakan yang dilakukan pihak stesen penyiaran televisyen itu adalah wajar agar masyarakat tidak mempercayai sesuatu yang tidak pasti dan tidak ada asal.
Katanya, apabila sesuatu hadis disandarkan pada nama Nabi Muhammad S.A.W, ia bukanlah isu yang kecil malah mencerminkan agama Islam.
“Isu penggunaan hadis yang tidak ada sumbernya merupakan isu yang besar, sampai para ulama’ pernah berkata ancaman dosa kepada sesiapa yang menyebarkan hadis dalam keadaan dia tidak tahu statusnya.
“Saya harap isu ini jadi peringatan, jangan kerana kita nak buat baik, tapi terjebak dalam perkara yang tidak betul,” katanya. – KOSMO! ONLINE