KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki kebangsaan, Leong Jun Hao terus menampilkan aksi memukau apabila melakar kejutan pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia selepas menyingkirkan pemain tuan rumah, Jonathan Christie.
Pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi, Jun Hao dipaksa bermandi peluh sebelum mencatat kemenangan 21-13, 16-21, 21-12 ke atas pilihan ketiga kejohanan itu.
“Saya perlu berikan kredit pada diri sendiri kerana mampu catat kemenangan hari ini. Ketika ini, saya sedang mencari konsistensi selain keyakinan diri juga bertambah baik. Saya harap dapat teruskan aksi seperti ini,” kata Jun Hao kepada BWF.
Turun menentang Christie yang menerima sokongan padu ribuan penyokong sendiri sedikit pun tidak melemahkan semangat Jun Hao apabila berjaya menampilkan aksi bertenaga untuk menang set pertama 21-13.
Tersentak dengan kekalahan itu, Christie yang juga pemain No.3 dunia kembali memperkemaskan permainan di set kedua dan berjaya menyamakan kedudukan, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, sedikit mengejutkan apabila Jun Hao langsung tidak terkesan dengan kekalahan di set kedua apabila dia berjaya menguasai sepenuhnya aksi set ketiga sebelum melengkapkan kemenangan 21-12 untuk melangkah ke pusingan kedua.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut pemain No.32 dunia itu menewaskan pemain yang menghuni ranking 10 teratas selepas turut melakukannya ketika menang ke atas seorang lagi pemain Indonesia, Anthony Ginting pada Terbuka Singapura minggu lalu.
Menjelang pusingan kedua esok, Jun Hao dijadualkan berdepan pemenang perlawanan antara dua jaguh Taiwan, Chou Tien Chen dan Lin Chun Yi yang akan membuat perhitungan sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE